(Video)“Kami Mahu Kebenaran,” Waris Keluarga MH17 Susun Kerusi Putih, Tanda ‘Desakan’ Dapatkan Kebenaran

Waris mangsa pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada enam tahun yang lalu telah mengadakan satu protes di hadapan kedutaan negara Rusia yang terletak di Hague, Belanda pada Ahad (Mac 8), sehari sebelum keempat-empat suspek dituduh di mahkamah atas dakwaan membunuh 298 orang penumpang dan krew kabin.

Keluarga serta kenalan mangsa telah meletakkan kerusi putih di sebuah halaman yang bertentangan dengan kedutaan tersebut sebagai simbol jumlah mangsa yang maut dan desakan supaya pihak Rusia memberikan kerjasama bagi menyiasat tragedi berkenaan.

Pesawat MH17 yang sedang dalam perjalanan daripada Amsterdam ke Kuala Lumpur itu telah terhempas selepas ditembak oleh sebuah misil udara buatan Rusia daripada timur Ukraine. Tiada mangsa yang selamat dilaporkan.

Serpihan pesawat Boeing 777 tersebut telah terhempas di sekitar kawasan perkampungan yang terletak di wilayah yang dikuasai oleh pemberontak pemisah pro-Rusia.

Waran penangkapan telah dikeluarkan pada tahun lalu bagi menahan tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine yang telah dikenal pasti oleh Joint Investigation Team (JIT) selepas beberapa tahun menghabiskan masa mengumpul bukti.

JIT menyatakan bahawa, kesemua mereka bukanlah pelaku yang telah melepaskan misil tersebut, sebaliknya merupakan perancang untuk melakukan serangan itu.

Pihak defendan besar kemungkinan dan dijangka tidak akan hadir untuk sebutan kes di mahkamah tinggi yang terletak berdekatan lapangan terbang Amsterdam Schiphol dimana mereka akan didakwa di bawah undang-undang negara Belanda.

Walau bagaimanapun, Rusia tetap bertegas menafikan sebarang penglibatan, menyalurkan dana atau memberi sokongan kepada pemberontak pro-Rusia di Ukraine dalam tragedi berkenaan.

Sumber: Newshub

The post (Video)“Kami Mahu Kebenaran,” Waris Keluarga MH17 Susun Kerusi Putih, Tanda ‘Desakan’ Dapatkan Kebenaran appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments